Showing posts with label qilla's articles. Show all posts
Showing posts with label qilla's articles. Show all posts

Friday, 5 June 2009

Pusat Hadis India

June 4, 2009 by geopractice
Petikan dari :
http://geopractice.wordpress.com/

India sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Hindu. Dari segi angka bilangan penduduk Muslim di India masih agak ramai dan tidak hairan syiar Islam sentiasa menyinar di sana. Kita sering menonton di TV mengenai syiar Islam di India terutama dalam bulan Ramadan dalam rancangan bercorak kembara dan ziarah.

Kewujudan berbagai institusi Islam – masjid, madrasa dan pusat pengajian agama menjadikan Islam terus subur di India. Lebih mengujakan apabila negara kita turut mengiktiraf institusi tersebut. Sebagai contoh pihak Jakim telah memperakui terdapat dua buah institusi di India sebagai Pusat Hadis yang boleh dijadikan contoh. Dua Institusi tersebut adalah Darul-Uloom Deoband dan Nadwatul Ulama Lucknow (ibu negeri Uttar Pradesh). Jakim sendiri bercadang menubuhkan sebuah pusat hadis dan akan menggunakan institusi berkenaan sebagai rujukan.
Masjid Penarik, Setiu, Terengganu


Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri pernah melawat institusi agama di India termasuk Darul Uloom Deoband. Beliau berkunjung ke situ pada tahun 2001 (ketika belum menjawat Mufti). Baca catatan beliau mengenai lawatan tersebut di sini.

Monday, 18 May 2009

Hari Guru Sejagat

Pada minggu ini ada dua aktiviti yang rata-ratanya berlangsung di banyak sekolah. Pertamanya menyambut Hari Guru dan yang kedua musim peperiksaan pertengahan tahun. Di negara kita Hari Guru secara rasminya disambut pada tarikh 16 Mei setiap tahun bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga guru atas usaha berterusan mereka mendidik dan menyampai ilmu kepada anak murid.

Sempena suasana Hari Guru tahun ini elok juga kita mengimbau bagaimana sambutan hari tersebut di arena global. Hari Guru sebenarnya turut disambut di merata tempat. Tarikh rasmi sambutan tersebut berbeza mengikut kesesuaian masing-masing negara. Negara Mexico menyambutnya pada tarikh hampir serupa dengan kita iaitu pada 15 Mei. Lebih hebat lagi Mexico menyambutnya dengan setem pos khas pada setiap tahun.

Mexico - setem Hari Guru 2007 (kiri) dan 2008 (kanan)

- - - - -

Di peringkat dunia PBB mengiktiraf tarikh 5 Oktober setiap tahun sebagai World Teachers Day. Oleh itu negara seperti Canada contohnya menyambut Hari Guru pada bulan Oktober sesuai dengan saranan PBB.


Canada - setem Hari Guru 2002
- - - - -


Selain Canada, Algeria dan Brazil turut menyambut Hari Guru pada bulan Oktober. Algeria menyambutnya pada 5 Oktober sementara Brazil pada 15 Oktober. Negara-negara tersebut turut melancarkan setem khas apabila menyambut Teachers Day.




Algeria - setem Teachers Day (2006)
- - - - -



Brazil - setem Teachers Day (2005)
- - - -

Negara lain yang dikenal pasti pernah menyambut Hari Guru bersekali dengan menerbit setem khas adalah Syria (bulan Mac), Cyprus (bulan September) dan Indonesia (bulan November).



Syria - setem Hari Guru 2004 (kiri) dan 2003 (kanan)
- - - - -



Cyprus - Hari Guru 2002
- - - - -


Indonesia - Hari Guru (2004)


- - - - -

Saturday, 25 April 2009

Cuti-cuti Ipta


Sesi pengajian ipta tahun 2008/09 sudah menghampiri penamat. Kini para pelajar sedang menduduki peperiksaan dan sesetengahnya pembentangan projek. Selepas semua itu berakhir para pelajar akan bercuti panjang dan berikutnya akan menyusul kemasukan pelajar baru pada penghujung Jun.


Pelajar pasca ijazah Kej Geomatik


Pada semester ini berpeluang mengendalikan subjek yang diikuti oleh pelajar peringkat MSc. Kelasnya kecil cuma seramai 10 orang pelajar (5 warga tempatan + 5 lagi pelajar luar negara). Pelajar perempuan 5 orang & selebihnya lelaki. Memang seimbang statistiknya. Pelajar luar negara tesebut datang dari Iran (3 orang), Nigeria (1 orang) dan Uganda (1 orang). Pelajar Uganda tersebut (namanya Kabagambe) sudah hampir tamat pengajian dan bercadang menyambung lagi sama ada di utm atau di Australia. Menjelang cuti panjang dua pelajar dari Iran (Hamed dan Roya) akan pulang bercuti selama sebulan. Salah satu sebab mereka hendak bercuti adalah kerana rindu masakan tempatan Iran! Mereka sudah menempah tiket penerbangan. Menurut mereka tiket pergi-balik ke Iran adalah USD500 menaiki Iran Air dari KLIA ke Teheran.


Kehadiran para pelajar luar negara di kampus tempatan nampaknya semakin ramai terutama dari negara Islam, dari Timur Tengah dan juga Asia Tengah. Kalau selepas solat Jumaat dapat dilihat mereka berkumpul sesama warga untuk bersilaturrahim.

. . . . . . .

Sunday, 12 April 2009

Ajal Rojak Mamak

Pada minggu lepas dan juga minggu sebelumnya berita dalam media negara dipenuhi hal politik. Kempen dan PRK 2 Bukit dan 1 Batang, perlantikan PM baru, kabinet baru dan puji-pujiannya memenuhi semua ruang berita. Namun dalam kesibukan politik dalam negara ada satu berita dari seberang Tambak Johor yang hendak saya kongsi bersama. Bukanlah hal politik tetapi soal hidup dan mati. Setiap yang hidup perlu kepada makanan dan mencarinya di merata ceruk. Malangnya dalam menikmati hidangan makanan ada yang sampai menemui maut. Begitulah yang terjadi di negara seberang.


Geylang Serai terkenal dengan sebuah food court yang menjadi tumpuan ramai. Salah sebuah warung di situ menjalankan perniagaan rojak mamak. Warung tersebut diusahakan oleh seorang peniaga Sheik Allaudin 69 tahun. Beliau telah berniaga di situ sejak 27 tahun yang lalu. Malangnya pada minggu lepas ramai pelanggan yang menikmati rojak peniaga tersebut telah mengalami keracunan makanan. Ramai yang terpaksa dirawat di hospital dan dua orang pelanggan malang meninggal dunia akibat keracunan tersebut. Mereka adalah Norani Kassim 59 dan Aminah Samijo 57. Berita mengenainya boleh dibaca di sini dan di sini.




Gerai Rojak Geylang Serai dan salah seorang wanita yang maut



Kita biasa mendengar berita mengenai keracunan makanan. Selalunya berlaku di kantin sekolah dan ada juga di tempat makan seperti restoran. Tetapi jarang yang sampai maut. Yang berlaku di Singapura itu agak mengejutkan. Umumnya persepsi kita tahap kebersihan di negara tersebut jauh lebih baik berbanding negara kita.



Sebuah kedai kopitiam di Danga City Mall JB (tidak menjual rojak tapi banyaklah menu lain yang hebat)
- - - - - - - - - - - - -

Saturday, 21 February 2009

Juruukur dan Keusahawanan

Sudah lama juga tidak berkesempatan menyumbang bahan kepada ghd. Kalau nak memberi alasan tu memang senang ... sebut saja sibuk dengan kerja, sibuk itu, sibuk ini. Namun yang pastinya beberapa minggu kebelakangan memang banyak hal yang berlaku dalam negara. Terutamanya hal mengenai politik yang memenuhkan berita nasional. Kalau di media perdana kebanyakannya berita cuma dari sebelah pihak sahaja sampai tak larat nak baca, tak sanggup lagi nak dengar. Kebejatan media membuatkan berasa cukup stress dan menghilangkan mood untuk bekerja.



Mujur juga dalam riuh-rendah begitu ada tugas yang memerlukan berada di luar kawasan. Dapatlah berjalan ke tempat yang jauh dari pejabat sambil menambah pengalaman. Tugas kali ini adalah menyelia pelajar yang sedang menjalankan praktikum di firma persendirian.



Satu perkara menarik dari lawatan tersebut adalah kagum melihat bekas pelajar yang sudah berjaya menjadi usahawan membuka perniagaan sendiri. Bidang ukur (atau geomatik) ternyata mampu melahirkan graduan yang boleh berdikari. Mereka mendapat ilmu yang profesional dan meneruskan karier sebagai Juruukur Bertauliah dan membuka firma perniagaan yang berjaya. Kini pelajar ukur yang sedang dalam semester latihan mendapat peluang untuk menjalani praktikum di firma ukur berkenaan. Itu satu kitaran pendidikan yang yang amat bermakna.





Firma Jurukur Ramadhan di Kota Bahru Kelantan


Salah sebuah firma yang dilawati adalah Syarikat Jurukur Ramadhan yang membuka pejabat di sebuah taman perumahan di Bandar Kota Bahru. Satu perkara menarik mengenai firma berkenaan adalah penerapan nilai keagamaan yang disemaikan. Pada setiap pagi semua staf akan memulakan tugas dengan sesi membaca Al-Quran selama setengah jam. Pada petangnya pula sebelum habis bekerja semua staf akan solat asar secara berjemaah di premis mereka. Selain itu sebagai ganjaran kepada pekerja yang bagus prestasi kerjanya syarikat akan menghantar pekerja tersebut untuk berumrah atau mengerjakan haji.



Juruukur Asas (Tanah Merah Kelantan) - bangunan besar cat merah
Syarikat Jurukur Asas beroperasi di Tanah Merah Kelantan. Firma ini amat berjaya sehingga mampu memiliki sebuah rumah kedai tiga tingkat terletak di kawasan perniagaan Tanah Merah.

Thursday, 22 January 2009

Pesakit VIP vs Pesakit Marhaen

Sejak beberapa hari lalu banyak pula berita mengenai hospital tersiar di akhbar. Ada yang menyiarkan laporan mengenai tempoh menunggu yang lama untuk pesakit luar menerima rawatan. Di KT pula sempena kempen PRK beberapa program melibatkan kesihatan telah berjalan. Antaranya perasmian penubuhan fakulti perubatan di UDM dan pengumuman pembinaan unit kardiologi dengan biaya Rm10 juta. Itu satu langkah yang baik tetapi bila diumum ketika musim prk jadi isulah pulak. Apa sekali pun hampir Rm1 bilion telah ditabur waktu kempen tu. Baca kat sini dan sini.

Namun ada satu hal menarik tentang pesakit vip di hospital KT. Akhbar BH semalam menyiarkan satu surat pembaca memuji layanan yang diberikan oleh hospital KT. Menariknya surat tersebut ditulis oleh seorang Timbalan Menteri. Beliau menerima rawatan di hospital KT (mungkin di waktu sibuk berkempen) dan telah mendapat layanan baik dari pihak hospital. Dia pesakit vip memanglah okay!

Pada hari berikutnya satu lagi surat pembaca disiarkan oleh akhbar yang sama (BH) mengulas mengenai surat Timbalan Menteri berkenaan. Ironinya surat kedua ini dari rakyat marhaen dan menulis mengenai keluhan betapa berbezanya tahap layanan yang beliau terima waktu menerima rawatan di hospital yang sama. Beliau dan pesakit lain disergah dengan kasar ! Begitulah bezanya pesakit vip dengan pesakit marhaen. Macam mana pula kat Hospital Mersing? Apa lagi kalau pelajar maktab yang datang untuk rawatan!


Pemandangan dalam sebuah wad di Hospital Sultan Ismail JB

Tuesday, 6 January 2009

Serangan Gaza dan Mama Mia


Serangan regim Zionis Israel ke atas wilayah Palestine Gaza adalah suatu berita yang memenuhi media pada ketika ini. Amat sedih melihat penderitaan rakyat Palestin yang terus berdepan dengan serangan ganas sejak hampir sebulan. Para ustaz yang menyampaikan kuliah di surau dan masjid mungkin ada mengingatkan kita supaya berbuat apa yang kita mampu waima berdoa dan bersolat hajat sebagai sokongan kepada Palestin.
Pada hari Jumaat lepas sebaik solat Jumaat satu demonstrasi kecil telah di adakan di luar Masjid utm membantah serangan ganas Israel. Kalau lihat foto di bawah mungkin tidak ramai mana yang menyertai demo tersebut. Sebenarnya pihak masjid telah membuat pengumuman bahawa 'tiada' sebarang demonstrasi akan diadakan (atau boleh di fahami sebagai demonstrasi tidak dibenarkan). Pengumuman tersebut pastinya dengan arahan pihak pengurusan. Makanya ramai yang menjauhi tempat tersebut kerana 'berisiko'. Begitulah suasana negara kita di mana-mana pun. Untuk menyatakan sokongan dalam isu besar seperti Gaza itu pun tidak dibenarkan ! Apatah lagi isu-isu dalam negara kita sendiri.


Demo Gaza di Masjid utm


Namun ada satu berita disiarkan dalam akhbar The Star yang menarik untuk kita renungi. Beritanya adalah mengenai pemimpin besar kita yang sempat menghadiri konsert Mama Mia di ibu negara. Beliau masih berkesempatan datang ke konsert tersebut walau pun suasana di Gaza masih jelas dalam ingatan semua. Lebih molek rasanya kalau di batalkan saja program seperti itu atau di wakil kepada orang lain untuk hadir ke situ. Begitulah Hadharinya kita agaknya...

Perhatikan siapa yang berhibur dengan Mama Mia!


Baca akhbar The Star Ahad 4 Jan. Akhbar berbahasa Melayu tidak pulak menyiarkan berita berkenaan.

Monday, 22 December 2008

Isu PPSMI

Kementerian Pelajaran dijangka akan mengumumkan keputusan mengenai isu PPSMI dalam masa terdekat. Isu ini terus mendapat perhatian hangat ekoran beberapa siri persidangan meja bulat yang telah diadakan seperti mana laporan media. Nampak gayanya pihak yang berkuasa dalam pelajaran memberikan signal bahawa PPSMI akan diteruskan.



Saya sempat mengutip beberapa nama tokoh besar yang telah menulis di akhbar menyuarakan penentangan mereka terhadap usaha untuk mengekalkan PPSMI. Di antara mereka adalah - Prof DiRaja Ungku Aziz, Prof Dr Abdullah Hasan (dari UPSI juga Presiden Persatuan Linguistik), Tan Sri Abdul Rahman Arshad (Bekas Ketua Pengarah Pelajaran), Prof Emeritus Dr Isahak Haron (pernah menjalankan penyelidikan mengenai PPSMI bersama penyelidik dari UPSI), Dr Kamaruddin Musa (dari fakulti Perniagaan dan ekonomi UPSI). Prof Madya Dr Ali Hasan (Jabatan Geologi UM dan Persatuan PIBG Kebangsaan).



Mengapa Kami Bantah (sumber - klik)



Di kalangan tokoh bahasa pula adalah Dr Hassan Ahmad (Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan), Datuk Baharudin Zain (Baha Zain - Presiden Pena), Abdul Ahmad (Ketua Satu Aksara - Angkatan Sasterawan Indera) dan Puan Ainon Mohd (Presiden Penerbit PTS). Saya percaya banyak lagi nama yang tidak tersenarai di sini yang pernah menyatakan bantahan mereka.



Sentimen yang sama boleh dibaca dalam banyak entri yang ditulis oleh para blogger . Di antara yang sempat dijengah ialah rausanfikir dan syeikhryz.

Wednesday, 3 December 2008

Gagap dan Nabi Musa

Majalah Dewan Bahasa keluaran Oktober 2008 mengutarakan fenomena gagap sebagai topik utama perbincangan. Gagap dinyatakan sebagai suatu bentuk gangguan komunikasi yang berlaku secara luar sedar. Gagap boleh dipulihkan jika betul cara dan teknik rawatannya. Dalam bahasa inggeris gagap disebut stuttering atau stammering.


Terdapat beberapa tokoh ternama yang disenarai sebagai gagap seperti Aristotle, Isaac Newton dan Winston Churchill. Turut tersenarai gagap adalah pelakon Marilyn Monroe, Bruce Willis dan penyanyi Carly Simon (macam mana dia jadi penyanyi terkenal?). Nama tokoh lain yang gagap boleh baca di sini.


Majalah berkenaan juga turut menyebut Nabi Musa AS juga mengalami masalah gagap. Hal ini dapat dikaitkan dengan kekhuatiran Nabi Musa untuk berdakwah dengan fasih kepada Firaun. Perkara ini disebut dalam Surah Taha. Saya pernah membaca tafsir Surah tersebut tetapi lupa pula apa yang dicatatkan tentang ayat berkenaan. Nampaknya kena selak semula kitab tafsir tersebut!


Sebuah artikel lain dalam majalah yang sama menyebut yang Nabi Musa mengalami gagap kerana pernah diberi makan bara api oleh Firaun (baca artikel m/surat 9 majalah tersebut). Cerita yang ini kita kena berhati-hati nak terima ke tidak. Kena tanya para ustaz sama ada betul ke tak faktanya.




Dewan Bahasa dan buku Cerita popular palsu



Kisah Nabi Musa makan bara api telah disanggah oleh seorang ahli agama Arab (Abdul Aziz bin Muhammad As-Sadahan). Beliau menulis sebuah buku berjudul "Cerita-cerita popular tapi palsu". Banyak kisah-kisah nabi yang kita selalu dengar tetapi kata beliau semua cerita tersebut boleh dipertikai. Termasuklah cerita tentang Nabi Musa dan bara api yang menurut beliau batil, tidak sohih dan tergolong sebagai kisah israiliyyat.


Para penulis Barat juga turut memberi fokus kepada gagap dan juga kisah Nabi Musa tersebut. Sebagai contoh seorang profesor di Harvard University menulis sebuah buku berjudul "Stutter". Tulisan beliau mengenai gagap Nabi Musa boleh dica di sini (fail pdf).




Buku Stutter

Wednesday, 26 November 2008

Berita UPSR Mersing


Keputusan UPSR diumumkan sudah lama sebelum cuti sekolah yang lalu. Namun masih ada baki-baki ceritanya di akhbar. Saya kutip salah satu berita tersebut mengenai pencapaian sekolah di Mersing. Pencapaian 5A paling banyak ialah dari SK Sri Mersing seramai 16 calun. Seterusnya diikuti oleh SK Bandar Mersing (9 calun), SK Bandar Endau (6 calun), SK Sri Pantai (6 calun), SK Teluk Lipat (3 calun) dan SK Triang Endau (2 calun). Cuma itu saja yang disebutkan dalam berita tersebut.


Keseluruhannya terdapat 88 calun dari Daerah Mersing yang memperolehi 5A. Statistik itu meliputi sekolah Cina dan juga India (ada ke sekolah India ni?). Kemungkinan besarnya ramai dari mereka ini yang akan memasuki MRSM dan SMSSI kat Mersing tu.


Sebagai bandingan di JB pencapaian di SK Bandar Uda 2 sahaja ada 85 calun yang mendapat 5A. Itu sahaja dah menyamai bilangan seluruh Mersing. Selain itu SK Convent JB juga hampir sama ramai berjaya dapat 5A. Kedua-dua sekolah ini memang bersaing hebat tetapi Convent punya kelebihan kerana ia dah jadi sekolah kluster.


Sebuah blok baru sedang dibina di SK Bandar Uda 2

Tuesday, 18 November 2008

MRSM baru RMK9

Beberapa buah MRSM baru akan dibina dalam RMK9. Lokasi bagi sembilan projek Mrsm yang telah diumumkan ialah di Tg Karang, Rantau NS, Baling, Tanah Merah, Temerloh, Dungun, Sandakan, Parit (Perak) dan Johor Bahru (nak tanya ghd kat mana ni? yang pernah dengar di Pasir Gudang). Lokasi pertama (Tg Karang) ialah kawasan Parlimen Menteri yang menjaga Mara. Tentulah dia mahukan sebuah Mrsm di situ. Mrsm yang dibina di tempat-tempat lain tentunya juga akan menjadi sebutan setidak-tidaknya kepada ibu-bapa yang mengharap anak mereka dapat diterima belajar. Mrsm Parit , di Perak... Parit ni sebuah pekan kecil yang agak ketinggalan. Jauh lebih teruk dari Mersing. Belum ada supermarket, belum ada hotel dan tempat persinggahan bermalam. Kalau ibu-bapa nak melawat anak kena cari tempat lain untuk bermalam. Nak ke Ipoh jauh juga tu.


Sebuah lagi sekolah berasrama penuh yang sedang dalam pembinaan di Perak ialah Sek Menengah Sains Bagan Datoh. Tempat ini pun sebuah pekan kecil yang terpencil. Cuma ada beberapa deret kedai lama namun tak ada sebuah kedai pun yang menjual buku sekolah. Harapnya dengan adanya SM Sains akan rancak jugalah ekonomi di Bagan Datoh. Hotel dan tempat bermalam yang paling dekat ialah di Teluk Intan. Jauhnya lebih kurang 45 minit perjalanan. Sakit jiwa juga ibu-bapa yang anaknya belajar di situ nanti.



Projek SM Sains Bagan Datoh


Bagan Datoh ni ialah kawasan Parlimen Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bercita-cita besar untuk menjadi Naib Presiden Umno. Namun sepanjang karier beliau (dan juga wakil rakyat Umno sebelum beliau) pekan kecil ini agak terbiar dari arus pembangunan. Jalanrayanya teruk, bekalan air kelihatan tak mencukupi. Macam mana rakyat di situ boleh terus menerima keadaan seperti itu. Ini sindrom Melayu mudah lupa agaknya...

Monday, 6 October 2008

Kampung dan sampah !

Sempena Syawal yang masih dalam suasana kemeriahannya maka eloklah di ambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca yang sempat mengunjungi blog ini. Ramai di antara kita yang pulang beraya ke kampung dan tentunya banyak cerita yang boleh dikongsi bersama. Ada yang terperangkap dalam kesesakan lebuh raya terutama perjalanan dari Pantai Timur. Begitu juga ceritanya yang balik dari utara melalui lebuhraya.


Selain kesesakan di jalanraya ada beberapa perkara yang agak mengecewakan yang dapat dilihat apabila berkunjung untuk beraya di beberapa buah kampung. Jalan raya yang sempit dan tidak diurus dengan baik menjadi perkara biasa. Begitu juga halnya dengan sistem bekalan air dan letrik yang sering terganggu kerana keupayaan yang jauh lebih rendah berbanding bilangan pengguna yang semakin bertambah. Kenapa sesudah 50 tahun merdeka perkara asas ini masih belum selesai.


Ada satu lagi hal yang menyakitkan pandangan iaitu berkaitan timbunan sampah yang tidak terurus. Perkhidmatan memungut sampah memang tidak pernah disediakan kepada penduduk kampung. Akibatnya mereka tak punya pilihan melonggok sampah di mana-mana sahaja terutama di belakang rumah. Tambahan pula yang mendiami kampung ialah warga tua yang tak sudah tak larat nak mengorek lubang untuk mengambus sampah berkenaan. Pembeli surat khabar lama pun tak ada yang datang maka nak melupuskan surat khabar lama pun susah. Maka tak hairanlah banyak kes penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi kian bertambah.



Foto ini dipilih kerana sampah yang ada tak menimbun sangat ....

Friday, 19 September 2008

Bilik Mengurus Jenazah Taipei


Sayu rasa hati membaca entri Cikgu Rahman yang menyentuh mengenai akhir hidup kita. Semoga kita sama-sama sentiasa berdoa agar mendapat penghujung yang baik. Ada suatu pengalaman yang saya ingin kongsi bersama bersabit kematian iaitu mengenai tempat mengurus jenazah. Perkara ini mungkin jarang kita hayati kerana berada dalam masyarakat Islam yang majoriti. Namun bagaimana agaknya mereka yang tinggal di negara asing?


Taipei Grand Mosque


Sewaktu berada di sebuah universiti di Taiwan saya sempat berkunjung ke sebuah masjid di Taipei - Taipei Grand Mosque. Kesempatan menemui masjid bila berada di negara bukan Islam memang suatu yang mengujakan (betul ke bahasa ni?). Barulah kita menyedari nikmat sebuah masjid. Di masjid itu saya sempat meninjau fasiliti yang ada dan di antaranya termasuklah sebuah bilik mengurus jenazah. Melihat bilik tersebut timbul rasa insaf mengenai tertegaknya syiar Islam di negara asing seperti Taiwan. Timbul juga rasa kagum kepada para Imam dan petugas di masjid tersebut yang mengurus fardhu kifayah yang amat besar maknanya kepada masyarakat Islam setempat.


Ruang mandi jenazah Masjid Taipei


Ruang menyimpan peti jenazah



Ruang wuduk .. amat bersih jagaannya .. siap ada pewangi pada setiap paip

Ada dua buah masjid di Taipei, sebuah lagi ialah Taipei Cultural Mosque atau dikenali juga sebagai Masjid Kecil Taipei.

Bacalah berita-berita mengenai syiar Islam di negara-negara lain untuk kita lebih menginsafi nikmat Allah. Sebagai contoh, berita mengenai suasana tarawih di Seoul Korea boleh di baca di sini.

Monday, 8 September 2008

Penjelasan Hadis Tarawih

Hadis mengenai kelebihan tarawih sering ditemui sebagai satu galakan menjelang Ramadan. Saya merasa terpanggil untuk memberi sedikit respons apabila membaca entri mengenai hadis ini (seperti mana komen yang saya tulis dalam entri tersebut). Berdasarkan pembacaan saya di beberapa sumber ternyata bahawa hadis yang menyebut mengenai kelebihan tarawih pada malam sekian-sekian itu adalah hadis palsu. Berikut saya sertakan beberapa sumber perbincangan yang boleh sama-sama kita rujuk mengenai perkara ini.

Pertamanya, Mufti Terengganu pernah menulis sebuah artikel panjang mengenai kepalsuan hadis kelebihan tarawih berkenaan. Beliau menulis artikel tersebut sebagai jawapan kerana kerap mendapati hadis tersebut disebarkan. Artikel Mufti Terengganu berkenaan boleh di baca di link berikut - imamrsc.com. Peringatan oleh Mufti Terengganu ini nyata memberi dampak besar dalam menangani isu berkenaan. Ini dapat dilihat kerana artikel tersebut berikutnya telah diterbitkan juga oleh banyak pihak lain termasuk Jakim, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan tentunya oleh Pejabat Mufti Terengganu sendiri.

Satu lagi peringatan mengenai isu yang sama pernah disuarakan oleh Mufti Kerajaan Melaka. Secara spesifik beliau menyebut bahawa "hadis yang menceritakan tentang kelebihan mengerjakan solat tarawih pada setiap malam yang kadang kala dibacakan sebelum memulakan solat tersebut atau disebarkan dengan tujuan untuk menggalakan orang ramai beramal adalah hadis maudhu' (palsu). Oleh itu ia tidak boleh dihebahkan kerana merupakan suatu pendustaan terhadap Rasulullah SAW. Beliau menyampaikan pesanan di atas dalam satu tazkirah mengenai Ramadan di sebuah masjid di Melaka. Petikan tazkiran tersebut boleh didapati dalam fail pdf di link berikut ~ al-azim.com.

Satu lagi sumber yang berkaitan hal ini dapat ditemui dalam satu ruang soal-jawab kendalian Bahagian Hal Ehwal Islam - iaitu nama lama bagi Jakim. Seorang peserta forum bertanya mengenai status hadis yang sama dan telah diberi jawapan bahawa hadis tersebut bukan hadis sohih malah ada pendapat mengatakan ia bukan hadis.

Wallahu'allam.

Tuesday, 2 September 2008

Rekod 'mengundur'


Keghairahan segolongan masyarakat kita untuk menempa nama melalui perkara yang pelik nampaknya menjadi fenomena yang berterusan. Maka wujudlah segala bentuk rekacipta terbesar, terpanjang, tertinggi dan sebagainya. Malangnya rekacipta tersebut tidaklah memberi pulangan dari sudut teknologi, keilmuan, inovasi dan segala nilai yang terpuji. Sebaliknya keghairahan tersebut ditonjolkan melalui kain rentang terpanjang, bendera terbesar, ikan bakar terpanjang dan macam-macam lagi.

Baru-baru ini satu lagi perkara yang sama telah dilaporkan. Seorang peniaga telah memandu kereta secara mengundur (tentunya menggunakan gear reverse) dari JB ke Desaru iaitu sejauh 88km. Beliau melakukan aksi pelik itu untuk membolehkannya tercatat dalam Record Book of Malaysia. Itulah contoh rekod yang mampu dihasilkan oleh warga Malaysia. Apa sumbangannya kepada masyarakat? Yang pastinya dari sudut ekonomi pun ianya membazir - kos petrol yang digunakan dan kesan ke atas enjin kereta kerana mengguna gear reverse sepanjang perjalanan. Dilaporkan juga khidmat polis peronda telah diguna untuk membantu kelancaran perjalanan ke Desaru. Siapa yang membayar kos tersebut.

Perhatikan berapai ramai polis yang terlibat?



Peniaga tersebut selanjutnya berhasrat untuk mengulang hal yang sama. Beliau merancang memandu (juga secara mengundur) di sepanjang lebuhraya Plus dari JB ke Bkt Kayu Hitam pada tahun depan. Tarikh yang dipilihnya 09-09-09. Kita tengok nanti berapa ramai pulak polis yang nak menolong beliau!

Thursday, 31 July 2008

Bacaan Israk dan Mikraj

Sambutan memperingati Israk dan Mikraj merupakan satu tarikh penting dalam kalendar Islam. Masyarakat di negara kita umumnya memilih malam 27 Rejab sebagai tarikh untuk memperingati peristiwa tersebut. Betul atau tidak peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab bukanlah untuk kita membincangkannya. Kita serahkan urusan tersebut kepada para bijak pandai dan para agamawan untuk mereka perdebatkan. Saya terjumpa satu ulasan tentang perkara ini di satu laman yang menulis dengan tajuk “Meninjau semula tarikh 27 Rejab”. Tentu ada banyak rencana lain mengenai hal ini yang boleh kita temui kalau rajin mencari.


Kain rentang ceramah Israk Mikraj di Masjid UDA, JB


Baru-baru ini sewaktu berjalan di kedai buku terjumpa sebuah kitab bertajuk “Israk dan Mikraj – latar belakang dan falsafahnya”. Kitab ini agak tebal dan merupakan terjemahan penulisan seorang ulama dari timur tengah. Seharusnyalah kita meluangkan waktu membaca kitab sebegini untuk mendalami keistimewaan israk dan mikraj.



Kitab - Israk & Mikraj

Peristiwa israk dan mikraj sebenarnya telah turut dikaji oleh orang Barat. Saya terjumpa satu tesis mengenai israk dan mikraj dihasilkan oleh seorang pengkaji dari Amerika. Beliau menulis tesis kedoktoran dengan judul “Heavenly journeys, earthly concerns – The legacy of the Mi’raj in the formation of Islam”. Tesis tersebut akhirnya di terbitkan dalam sebuah buku dengan judul yang sama – (maklumat dari amazon).


Buku tesis mengenai Israk-Mikraj oleh penulis Barat

Mesej dari hal ini ialah rajin-rajinlah kita membaca keranalah itulah yang paling mudah. Nak menulis buku mungkin kita tak mampu, sedangkan orang di Barat menulis tesis tentang Islam - walau pun niatnya mungkin suatu yang kita ragui. (Tesis yang disebutkan boleh di download percuma di UTM – ini satu lagi kemudahan yang seharusnya dimanfaat semasa berada di ipta, semua maklumat di hujung jari !)

Tuesday, 29 July 2008

Ceramah di IPTA

Salah satu perkara menarik di ipta ialah adanya peluang untuk menimba ilmu dan berkongsi pengalaman melalui seminar dan ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh dari golongan cendekiawan. Baru-baru ini Profesor Salleh Buang telah menyampaikan satu ceramah di Fak Kej & Sains Geoinformasi (FKSG), UTM Skudai menyentuh mengenai kes Pulau Batu Putih.


Ceramah oleh Prof Salleh Buang

Profesor Salleh Buang merupakan seorang tokoh perundangan yang terkenal di tanah air. Beliau sering menulis artikel mengenai ehwal perundangan dan artikel beliau tersiar dalam akhbar NST. Prof Salleh juga merupakan seorang Profesor Pelawat di Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi menyumbang kepakaran beliau khususnya dalam bidang undang-undang tanah.


Tajuk ceramah - Lessons of Pulau Batu Putih



Ceramah yang beliau sampaikan selama satu jam bertajuk ‘ Lessons of Batu Putih – why we lost at the ICJ”. Salah satu sebab yang beliau sebutkan ialah kelemahan pasukan negara kita yang ditampilkan di ICJ berbanding pasukan Singapura. Pihak Singapura telah menghantar perwakilan yang boleh diiktiraf sebagai ‘pro’ sedangkan negara kita diwakili oleh pasukan yang dikategori sebagai ‘novice’. Makanya tentu sekali penghujahan pihak lawan sukar ditandingi. Sebab-sebab lain yang beliau kemukakan antaranya ialah kelemahan sistem arkib menyimpan dokumen penting, gagal mengemukakan dokumen bertulis sebagai bukti sah (eg. kehilangan surat penting bertarikh 1884), sejumlah enam buah peta Malaysia diterbitkan oleh pihak berkuasa kita sendiri (sebelum tahun 1980) yang mengakui PBP sebagai di bawah milikan S’pura.

Monday, 21 July 2008

Bermalam di Mersing



Mercu tanda Kali's Guest House


Sesekali berkunjung ke Mersing waktu melawat anak timbul keinginan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan balik ke JB. Walau pun perjalanan ke Mersing cuma dalam dua jam namun memandu kereta ke sana agak memenatkan. Keadaan jalan yang berselekoh, jalannya cuma dua lorong (dua-hala), sukar untuk memotong kenderaan bergerak perlahan seperti lori menimbulkan rasa stress. Itu antara sebab mengapa memilih untuk bermalam di Mersing.

Ruang reception


Banyak tempat penginapan terdapat di Mersing seperti Seri Malaysia, Timotel dan lain-lain hotel yang tak ingat namanya. Selain hotel yang telah lama ada juga hotel-hotel baru seperti D’View (berhampiran Pasaraya Kini) dan Sweet Hotel. Peliknya waktu ke sana pada bulan Jun lalu semua hotel dah penuh ditempah (kerana ada pesta sukan Pejabat Tanah). Mujurlah dapat juga bermalam di satu tempat yang agak asing – Kali’s Guest House; walau pun terletak lebih kurang 3km dari Bandar Mersing. Masyarakat tempatan Mersing mungkin tak ambil kisah pun wujudnya tempat penginapan ini memandangkan lokalitinya yang agak tersorok.


Bilik famili


Bayaran yang dikenakan untuk sebuah bilik keluarga agak murah Rm80 dan boleh minta diskaun lagi (Rm70). Suatu yang menarik di situ ialah reka bentuknya yang agak unik dan kelihatan klasik. Namun tempat itu banyak nyamuk kerana persekitaran yang dipenuhi rimbun. Kalau nak bermalam sediakan pembakar nyamuk.


Kafe Kali's (tidak membuka perniagaan waktu menginap di situ)


Sebuah waqaf di Kali's




Pintu masuk ke Kali's



Sempat juga berendam kat laut