Gaya dan pola politik Melayu masakini begitu celaru dan tidak menun¬juk¬kan satu kematangan selaras dengan usia demokrasi di Malaysia. Ini kerana orang Melayu yang telah ter¬pecah ke¬pada dua ke¬lompok besar parti politik (satu kerajaan dan satu pembangkang) yang telah saling ber¬cakaran tidak kira musim, tempat dan subjek. Berbeza dengan bangsa lain yang kelihatannya lebih bijak ‘menguruskan’ perbezaan dan ‘memanfaatkan’ persamaan tanpa terikat dengan ‘baju’ kepartaian!
Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur oleh lautan api per¬musuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh me¬letakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.” Per¬tembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihan raya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan perkara. Pihak yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus meng¬henyak yang di bawah. Terlupakah kita bahawa kerja untuk ‘membina’ sesungguhnya masih banyak? Mengapa kerja untuk ‘meruntuh’ pula yang jadi keutamaan?
Sekadar perbandingan rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apa¬bila terjadi pertandingan merebut jawa¬tan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Namun apabila keputusan pemilihan Presiden diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam Pilihan¬raya Presiden Amerika suatu masa dulu) kedua-duanya merujuk kes itu ke mahkamah. Setelah mahkamah memutuskan yang Bush adalah pe¬menang mutlak, Al Gore menerimanya dan berkata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu kata-mengata, tuduh-menuduh, tidak berlaku lagi. Pemimpin yang terpilih boleh terus menjalankan tugasnya, manakala yang kalah, akur dan sanggup memberi ketaatan sebagai rakyat.
Selepas itu rakyat Amerika tidak kira anggota Parti Demo¬krat atau pun Re¬publikan, terus berkerja membina ne¬gara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Re¬publikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak membela kebajikan rakyat dan keutuhan negara se¬panjang tempoh pemerintahan parti Republikan. Jika adapun kritik¬an, ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara secara caca-marba.
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggungjawab dan peranan di bidang masing-masing. Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai jentera negara secara meluas bukan lagi sebagai jentera parti yang sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti pemerintah tetapi daripada seluruh rakyat.
Adalah jelas kematangan berpolitik seumpama itu belum ada di kalangan orang Melayu di negara kita. Sama ada di pihak mana pun masing-masing masih kuat terikat dengan ke¬penti¬ngan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibat¬nya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan, manakala yang kalah pula terus ‘menyalak bukit’. Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’.
Dan rakyat se¬luruhnya turut ter¬heret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan kerajaan, syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, masjid, sekolah, kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu ber¬politik hampir setiap masa, tempat dan perkara. Sikap prajudis – menghukum sebelum mengadili sering terjadi. Hanya kerana seseorang dari parti lawan, maka cakapnya tentu tidak benar!
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, pe¬nilaian dan pengkajian terhadap sesuatu tidak lagi bersandar¬kan pada etika kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang, tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian. Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipolan orang parti mana? Kekadang untuk mem¬beri satu tender atau kenaikan pangkat, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang berbanding kemampuan di bidang yang berkenaan. Walaupun praktik ini belum menyeluruh, nampaknya ia mula membenih dalam amalan politik orang Melayu.
Budaya negatif ini akan merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang di¬amalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, akan menyebabkan orang Melayu menjadi semakin emosional dalam menghadapi sesuatu isu sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang ter¬tentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen ke¬partian yang melampau. Misalnya, seorang pentadbir yang cekap dan amanah mungkin boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak. Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak atas sentimen kepartian bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walau pun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.
Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengarah atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang le¬bih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya? Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, eko¬nomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat. Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran.
Orang Melayu perlu ingat, bahawa semakin mereka ghairah bergaduh (atas justifikasi apapun), pihak lain lebih bijak bertindak dengan menyodorkan agenda kepentingan mereka. Di sudut ini nampaknya parti-parti bangsa lain lebih matang kerana walaupun dalam parti yang berlainan tetapi sama-sama menjaga kepentingan. Mereka lebih rasional untuk menimbang dan membuat pilihan. Kematangan ini dibuktikan dalam Pilihanraya 1999 dan 2008 yang lalu apabila orang Cina ‘tahu’ siapa yang harus mereka pilih untuk menjamin status ekonomi dan sosial mereka. Mereka lebih bijak untuk melihat banyak titik per¬samaan sesama mereka (walaupun berbeza parti) dan berusaha bersama-sama untuk mencapainya.
Nampaknya orang Cina juga bijak dalam menguruskan krisis dan tahu bila mahu berhenti apabila keadaan memerlu¬kan mereka bersatu. Inilah kematangan berpolitik namanya. Manakala dalam bidang perniagaan, mereka lebih bersifat objektif… siapa yang dapat menyumbangkan keuntungan, me¬reka akan sanggup berkerjasama. Dalam politik, ada disiplin politik, maka dalam bidang perniagaan, pendidikan dan budaya, ada jua disiplin dan etikanya yang tersendiri. Justeru, disiplin politik tidak lagi relevan untuk mendapat per¬timbangan yang tidak bias, prejudis dan emosional dalam bidang-bidang yang lain.
Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.
Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Dan nampaknya mereka lebih objektif dan berhati-hati tentang penubuhan Sekolah Wawasan, penerapan bahasa tambahan di sekolah-sekolah rendah dan lain-lain. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.
Di peringkat antarabangsa pula cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ke¬tenteraan ketika berdepan dengan dunia Islam. Sebaik sahaja WTC di¬serang mereka terus bersatu dengan Amerika untuk me¬me¬rangi “keganasan”. Manakala di bindang ekonomi negara-negara Eropah telah ber¬jaya mengatasi perbezaan pendapat apa¬bila rela menggunakan mata wang yang sama untuk meng¬¬hadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Me¬reka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga.
Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia. Pernah ada per¬cubaan menggunakan figur luar dalam catur politik parti-parti politik tertentu. Ada pihak yang condong kepada Al Gore dan ada pihak yang condong kepada Bush semasa kedua-duanya bertarung dalam pilihanraya presiden Amerika yang lalu. Apa¬kah sifat con¬dong itu hasil pengamatan yang dibuat se¬cara ilmiah dan objektif? Kita sama-sama boleh men¬jawab¬nya. Apakah hanya kerana puak A menyokong Al Gore maka puak B perlu me¬nyokong Bush? Sedangkan sama ada Bush atau Al Gore sama-sama dipantau oleh golongan elit Yahudi?
Untuk itu, sejarah pertelingkahan antara Muawiyah dan Saidina Ali R.A harus dijadikan iktibar. Perbezaan pandangan antara mereka berdua demi kemaslahatan ummah telah menyebabkan berlakunya perang saudara. Keadaan ini cuba diambil kesemptan oleh pihak ketiga – kerajaan Rom. Wakil Rom yakni pihak luar ketika itu berjumpa dengan Muawiyah untuk menghulurkan bantuan bagi menghadapi tentera Sayidina Ali, namun Muawiyah dengan tegas telah menolak tawaran itu.
Ini membuktikan bahawa Muawiyah tahu batas-batas krisis sesama Islam – yakni jangan sekali-kali bersekongkol dengan musuh yang mempunyai ‘hidden agenda’ untuk menyelesaikan masalah sesama Islam. Justeru, kita lihat betapa empayar Islam terus berkembang di luar jazirah Arab walaupun perang saudara itu berlaku. Juga tidak semua pihak terheret dalam pertikaian politik, para pendakwah, ahli ekonomi, pakar sains dan teknologi terus bekerja di sebalik pertikaian orang-orang politik.
Malangnya, sering kali kebencian ‘membunuh’ kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah suatu masa dulu menyebabkan lahirnya se¬gelintir mereka yang memilih Parti Komunis Mala¬ya (PKM) sebagai cara menegakkan keadilan. Sedangkan komunis juga hakikatnya bukanlah suatu ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mem¬punyai ilmu yang cukup untuk menilai. Kebencian terhadap sesama bangsa dan sesama agama(?) mampukan mewajarkan kita untuk membuka pintu kepada pihak lain yang siap siaga untuk menangguk di air keruh? Jangan, jangan, jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar!
Oleh itu, barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan politik. Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka ter¬hadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan.
Aktiviti po¬litik mereka mungkin terhad pada musim pilihanraya sa¬haja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat ke¬pu¬tusan dan pemben¬tukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan ber¬kerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah diper¬tanggungjawab¬kan.
Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, maka itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan (pusat atau negeri) itu ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut per¬untukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan meng¬guna¬kan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya akan datang.
Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mem¬punyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut ke¬yakinan dan keimanan (Fardhu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardhu Kifayah). Dengan sifat mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.
Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak di tangan parti tersebut, tetapi sebalik¬nya survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu sendiri.
Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan mem¬bina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu. Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti.
Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kao¬mintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu “jalan” sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu “tujuan”. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu tujuan!
Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara langsung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya.
Inilah ke¬matangan berpolitik namanya. Aliran ketiga ini bebas untuk bekerja¬sama dengan mana-mana pihak, sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi kor¬porat, tanpa melihat dan dilihat secara prejudis. Asalkan pe¬luang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan prinsip ‘tidak ke mana-mana’ tetapi ‘ada di mana-mana’.
Idea perlu wujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk me¬nangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali. Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi golongan profesional Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan pe¬ranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa per¬kem¬bangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak te¬rencat sekalipun berlaku peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.
Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama ber¬politik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana me¬letakkan kepentingan Allah dan Rasul mengatasi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus ber¬kembang dengan cepat dan me¬luas?
Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukan lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian dan ejekan dengan istilah ‘barua’, ‘bela babi’ dan sebagainya. Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wa¬cana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pe¬mikiran Melayu.
Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama. Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang ‘what we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.
Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara dikalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu per¬tentangan. Bahkan perbezaan itu boleh menjadi satu keindahan jika ia dapat ditangani dengan penuh bijaksanaan dan keikhlasan. Sebenarnya, kita masih boleh bersatu walaupun dengan ujudnya banyak perbezaan. Soalnya, kita mahu atau tidak? Mahu seribu daya, hendak sejuta cara!
Sumber :http://genta-rasa.com
Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts
Wednesday, 30 June 2010
Monday, 8 September 2008
Hidup bukan Que Sera, Sera'' - Usaha capai keperibadian unggul bergantung kepada diri sendiri

Mukaddimah :
PROF. Diraja Ungku Aziz tertawa kecil apabila dua kali diajukan pertanyaan tentang Anugerah Melayu Terbilang yang diterimanya sempena sambutan ulang tahun ke-59 UMNO.
"Saya sebenarnya takut. Secara peribadi (anugerah) ini membimbangkan saya kerana menjadi terbilang bermakna lebih tinggi daripada orang lain.
"Saya tidak fikir sesiapa saja yang berjaya suka merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, melihat semua orang lain duduk di bawah,'' kata Pak Ungku kepada wartawan petang kelmarin.
Temu bual tersebut diatur untuk mencungkil pandangan beliau mengenai personaliti Melayu unggul serta usaha-usaha yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita itu.
"Kalau kita hendak kenal orang Melayu yang unggul dan berjaya, atau mahu mewujudkan acuan yang boleh dicontohi, kita sebenarnya bercakap tentang hal-hal yang sepatutnya ada pada orang Melayu,'' katanya.
Pak Ungku menggariskan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan dalam usaha untuk membentuk personaliti yang diharap akan dapat mengangkat martabat orang Melayu itu.
Beliau menyentuh soal pendidikan dan mencadangkan beberapa perubahan yang harus diambil untuk melahirkan generasi masa akan datang yang unggul. Beliau menyebut juga tentang pentingnya sukan bagi melahirkan masyarakat yang sihat.
Pak Ungku juga mengulangi keyakinan yang dipegangnya tentang hubung kait antara pemakanan yang seimbang dan kecemerlangan bangsa - teori yang dipegangnya sejak membuat kajian tentang pembasmian kemiskinan pada tahun 1970-an.
Tetapi ada satu lagi perkara penting yang dibangkitkan oleh tokoh akademik yang kuat membaca ini. Beliau menyarankan semua orang Melayu supaya membaca buku tulisan Pendeta Za'ba, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri.
"Dalam buku itu ada amanat penting Za'ba yang menunjukkan jalan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul,'' katanya.
MINGGUAN: Bagaimanakah kita boleh melahirkan Melayu unggul? Apakah yang seharusnya dilakukan?
UNGKU AZIZ: Kita perlu terlebih dulu memahami perjalanan hidup manusia atau apa yang disebut oleh William Shakespeare sebagai tujuh peringkat umur manusia. Ini proses hidup yang lazimnya dialami oleh setiap orang. Dalam melalui satu demi satu peringkat umur itu, cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana hendak mengenal jalan ke arah kesempurnaan - untuk jadi berjaya dan unggul - serta memahami falsafah-falsafah yang berkaitan.
Saya sebenarnya banyak terpengaruh dengan buku yang ditulis oleh Pendeta Za'ba iaitu Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Saya suka hendak mengulang falsafah yang diungkapkan oleh Za'ba bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri.
Semuanya datang daripada diri kita sendiri. Berapa banyak pun seseorang itu berdoa tidak ada jaminan bahawa dia akan mendapat apa yang diinginkan melainkan melalui usaha. Kalau berusaha, kemungkinan untuk dia mendapatkannya ada.
Apa kaitannya falsafah Za'ba itu dengan peringkat umur manusia?
UNGKU AZIZ: Mencari keunggulan adalah satu usaha. Semasa berumur sekitar 15 tahun, seseorang itu umumnya tidak begitu bertanggungjawab - ada tanggungjawab tetapi tidak banyak. Apabila meningkat dewasa tanggungjawab itu bertambah, dan beban mencari kesempurnaan juga bertambah.
Masa depan seseorang apabila dewasa - apa yang akan berlaku apabila umur meningkat - bergantung kepada apa yang dilakukannya semasa remaja. Kalau pada peringkat awal sudah tidak betul, kesannya juga mudarat. Ini sesuatu yang sangat serius.
Kalau sudah dewasa dan sudah menentukan hidupnya sendiri, persediaan seseorang itu untuk menghadapi hidup seharusnya sudah lengkap. Itu sebabnya saya melihat zaman remaja sebagai satu tempoh yang sangat penting dalam kita hendak membentuk peribadi yang dikatakan unggul itu.
Kenapa golongan remaja?
UNGKU AZIZ: Kalau kita mahu membina personaliti unggul kita harus melihat kepada remaja. Kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung. Masa depan itu ada di tangan mereka. Ini bukan satu pandangan yang klise tetapi ini realiti. Gambaran masa depan kita ialah bagaimana keadaan remaja pada hari ini.
Tidak ada orang yang dewasa tanpa melalui zaman remaja. Orang banyak terlupa tentang hakikat ini. Kita tidak ada pilihan sebenarnya - bagaimana keadaan kita pada hari ini begitulah keadaannya pada masa depan.
Bagaimana Pak Ungku melihat remaja hari ini?
UNGKU AZIZ: Kita jangan terlalu cepat menyalahkan remaja, mengatakan mereka hanya suka melepak, pemalas dan banyak angan-angan. Kita sepatutnya cuba memeriksa bagaimanakah keadaannya menjadi remaja pada zaman ini, pada tahun 2005 ini.
Ini topik kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Saya sebenarnya banyak memikirkan hal ini: Bagaimanakah kita boleh memahami masalah utama remaja Melayu pada hari ini? Ada banyak masalah, dan masalahnya pelbagai.
Tetapi pada umumnya saya rasa remaja hari ini mengalami krisis jati diri. Mereka tidak dapat menjawab dengan tegas soalan yang ditanya oleh (ahli falsafah) Socrates: ``Siapakah aku?''
Kepada saya, setiap remaja sepatutnya selalu bertanyakan soalan itu kepada diri sendiri, dan harus ada jawapan yang memuaskan hati.
Kenapa soalan itu?
UNGKU AZIZ: Hidup ini bukanlah seperti lagu Que Sera, Sera - apa hendak jadi biarlah terjadi. Masa depan itu terpulang kepada kita sendiri. Ini berbalik kepada falsafah Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.
Apakah krisis identiti yang dihadapi oleh remaja Melayu?
UNGKU AZIZ: Remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Kenapa jadi begini? Ini teori saya; kalau salah, salahlah saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.
Saya rasa orang yang hendak mencari jati diri mesti boleh bertanya dan menjawab soalan Socrates itu. Tetapi mereka pada hari ini sukar hendak menjawab soalan itu kerana disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian. Inilah masalahnya.
Saya minta maaf kerana terpaksa menyebut siapa yang bertanggungjawab besar dalam perkara ini... (ketawa)
Media, maksudnya?
UNGKU AZIZ: (Ketawa) Inilah masalah yang paling besar. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina celebrity.
Orang tertarik kepada celebrity dan kemudian meresap masuk ke dalam identiti yang dibina itu. Lihat saja identiti celebrity yang dibentuk oleh media, baik melalui iklan atau penyanyi, orang paling kuat, paling lemah, paling kacak dan sebagainya.
Minda remaja ini diserang seperti dihujani peluru dengan pelbagai jenis identiti kecil daripada para celebrity ini. Akibatnya mereka tidak dapat membuat pilihan. Mereka tidak dapat memastikan dengan tegas dan yakin tokoh yang harus mereka ikuti.
Media ini pula datang dalam pelbagai bentuk - cetak dan elektronik atau maya. Media maya ini paling efisien dan berkesan, paling merosakkan berbanding yang lain. Orang terbuai dengan media sama seperti tikus-tikus dalam cerita Pemain Seruling dari Hamlin.
Inilah yang berlaku sekarang. Pemain seruling itu sekarang ialah media. Orang yang menguasai media memanipulasikan keadaan dengan membina celebrity. Celebrity itu sekarang menjadi model kecil kepada remaja sehingga mereka merasakan ``kalau dapat jadi seperti itu, cukuplah.''
Kepada golongan remaja, konsep keunggulan itu merujuk kepada model celebrity yang dilihatnya melalui media. Tetapi pada masa yang sama mereka sendiri barangkali cukup insaf bahawa mereka mungkin tidak dapat jadi seperti itu.
Insaf, kenapa?
UNGKU AZIZ: Kita lihat iklan katakanlah hendak menjual rokok, misalnya. Jadi ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu.
Remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok saja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja yang masih mencari-cari identiti.
Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Remaja tertawan kepada imej-imej itu kerana ia membuatkan mereka rasa seronok dan menarik. Tetapi semuanya hanya angan-angan. Ini sama seperti cerita usahawan yang berangan-angan macam Mat Jenin - suatu hari nanti mahu ada pejabat, ada setiausaha cantik dan sebagainya.
Apa salahnya berangan-angan?
UNGKU AZIZ: Angan-angan ini memuaskan diri dalam jangka masa pendek tetapi kalau terlalu berangan-angan mereka boleh terjerumus terlibat dengan dadah. Statistik menunjukkan majoriti yang terlibat dengan dadah ialah Melayu. Tidak cukup dengan fantasi di rumah mereka berkhayal melalui dadah. Saya tahu tidak semua remaja terlibat tetapi sebahagian besarnya ialah mereka yang berangan-angan ini.
Saya fikir nisbah lelaki yang hidup dalam angan-angan jauh lebih besar berbanding wanita, boleh dikatakan dua pertiga. Majoriti remaja wanita lebih stabil, kurang angan-angan dan ada imej yang jelas tentang matlamat hidup masa depan. Itu sebabnya sekitar 70 peratus pelajar di universiti hari ini ialah wanita. Ini bukti bahawa jati diri gantian ini mempengaruhi lebih ramai lelaki berbanding wanita.
Malah kalau kita kaji, remaja lelaki Melayu jugalah yang paling banyak di pusat permainan video. Remaja wanita tidak banyak yang bermain permainan video kerana mereka realist. Mereka ada cita-cita dan mahukan kebebasan. Mereka tahu kalau ada kerja, mereka ada kebebasan. Cita-cita mereka realistik.
Krisis identiti ini lebih bahaya di kalangan lelaki berbanding wanita. Kalau kita hendak membina Melayu yang unggul kita perlu mengukuhkan jati diri terutamanya di kalangan remaja lelaki. Kita harus ada keseimbangan kuasa dalam masyarakat antara lelaki dan wanita.
Bagaimana hendak membentuk jati diri yang betul di kalangan remaja?
UNGKU AZIZ: Kita mesti berbalik kepada pendidikan kerana ia menentukan masa depan. Kalau tidak rajin belajar, mereka akan banyak berpoya-poya, hidup berangan-angan dan duduk melepak. Ini semua fenomena sosial yang melemahkan remaja Melayu. Kita perlu mengubahnya dengan segera tetapi ia tidak mudah.
Kita juga harus menanam hidup yang lebih berdisiplin. Kenapa misalnya di Jepun dan Switzerland, orang tahu berbaris tetapi di sini semua orang berebut-rebut hendak ke depan? Tidak ada disiplin sosial.
Kita juga harus menanam sifat jujur dan amanah. Kalau jumpa dompet di tengah jalan kita pulangkan. Tetapi dalam masyarakat kita orang yang buat begitu adalah golongan yang terkecuali. Ia tidak normal, dan apabila berlaku ia jadi bahan berita. Malah orang merasakan kalau jumpa dompet di tengah jalan itu rezeki. Konsep rezekinya pun sudah salah.
Kesedaran tentang nilai-nilai murni ini mesti dibina dari awal. Pada fikiran saya, pergerakan pengakap di sekolah dulu boleh menanam nilai-nilai ini. Sekarang ia sudah dipolitikkan.
Apa lagi yang perlu kita tanam kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Sifat kesetiaan dan patriotisme. Kepada saya, remaja yang dipanggil tetapi tidak pergi ke Program Latihan Khidmat Negara itu dalam jati dirinya tidak ada nilai patriotisme. Kita tidak boleh melihatnya sebagai hero. Kalau patriotik, apabila dipanggil dia mesti pergi. Itu satu tanggungjawab.
Remaja juga harus berani buat apa saja, bersedia pada bila-bila masa. Ini sifat yang kepada saya harus ada tidak kira pada semua orang yang mahu berjaya. Kalau hendak membina remaja yang unggul apabila dewasa kita kena pastikan mereka ada nilai-nilai ini - berdisiplin, berani, jujur, amanah dan patriotisme. Ini boleh kita buat melalui pendidikan tetapi kena fokus.
Apakah kita perlu mengetengahkan model-model baru kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Barangkali model itu ada tetapi kita simpan dalam almari (ketawa). Kita kena keluarkannya dari almari dan gilap sedikit. Kalau kita melihat tempoh 100 tahun yang lalu, saya fikir model itu banyak.
Malah dalam sejarah juga ada tokoh-tokoh yang boleh dijadikan model, Hang Tuah misalnya. Dia mungkin tidak pernah wujud tetapi sifat-sifatnya boleh kita baca dalam Hikayat Hang Tuah. Dia perkasa, suka menuntut ilmu dan belajar banyak bahasa. Dia juga setia; baik atau buruk kesetiaannya itu, usah ditanya.
Sifat-sifat terpuji daripada model-model inilah yang akan membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa. Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.
Apakah yang tidak harus ada pada orang Melayu untuk menjadi unggul?
UNGKU AZIZ: Harus tahu membezakan antara realiti dan fantasi. Orang muda hari ini lebih cenderung kepada angan-angan kerana pengaruh media yang saya sebutkan tadi, terutamanya media elektronik.
Usaha ini banyak bergantung kepada media?
UNGKU AZIZ: Ya, kerana media ada hubungan langsung dengan kelompok ini. Pada masa yang sama perlu juga ada peranan ibu bapa dan guru. Semua pihak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sapu rata salahkan media saja - kononnya kalau baik media, semuanya akan baik. Tidak begitu. Para pemimpin juga ada peranannya. Suka atau tidak suka, mereka adalah model yang unggul; seharusnya begitulah.
Kalau orang mahu berjaya mereka harus membetulkan diri sendiri. Jangan jadi seperti Enron dan WorldCom yang melahirkan tokoh-tokoh korporat berjaya tetapi mengerjakan duit orang beratus bilion. Itu bukan model yang baik.
Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa?
UNGKU AZIZ: Berikan perhatian kepada pemakanan anak-anak mereka. Masalah kritikal orang Melayu sejak berpuluh tahun lalu ialah umumnya saiz badan mereka kecil. Mengikut teori saya, 90 peratus masalah ini berpunca daripada makanan.
Kalau kita lihat orang yang masuk tentera atau yang keluarganya berpendapatan tinggi yang mendapat makanan lebih baik, saiz tubuh mereka lebih besar, tinggi dan lebih sihat.
Masalah saiz kecil ini boleh ditangani pada zaman awal praremaja, semasa kanak-kanak. Tujuh tahun pertama dalam hidup manusia adalah tempoh pembesaran fizikal yang penting. Kalau tidak dapat makanan yang seimbang ketika itu, pembesarannya akan terganggu.
Kalau mahu jadi bangsa yang unggul orang Melayu mesti bersaiz lebih besar.
Apa hubung kaitnya?
UNGKU AZIZ: Cuba kita lihat di sekeliling kita. Orang yang berjaya biasanya tubuh mereka besar dan tinggi, bahu mereka lebar. Ini semua datang daripada pemakanan yang baik.
Pemakanan bukan saja mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak. Otak mereka lebih cekap seperti bateri yang sudah dicas dengan baik. Otak kita ini seperti bateri. Kita charge otak dengan makanan yang berzat dan seimbang. Kita harus melakukannya dari sekolah rendah.
Bagaimana?
UNGKU AZIZ: Kita harus mula menyusun program makanan yang lebih baik dan menyeluruh untuk sekolah-sekolah. Sekarang kita buat tetapi tidak di semua sekolah dan tidak teratur. Kenapa tidak kita mula menyediakan makan tengah hari yang seimbang dengan lebih sistematik, sehari sekali di sekolah?
Kanak-kanak yang membesar harus makan paling kurang sebiji telur seminggu. Tetapi ia tidak berlaku kerana sesetengah orang Melayu tidak mampu. Apatah lagi sekarang ini harga telur dan makanan keseluruhannya sudah naik.
Tetapi saya percaya usaha ini boleh dilakukan oleh kerajaan. Kalau kita percaya bahawa remaja adalah harapan masa depan, kita harus mula membina mereka sejak peringkat praremaja lagi. Kita harus menjaga anak harapan bangsa ini sejak dari kecil lagi.
Apa lagi selain menjaga makanan?
UNGKU AZIZ: Jaga kesihatan dengan bersukan. Kita boleh melahirkan manusia unggul melalui sukan. Kita harus galakkan orang menjadikan sukan sebagai satu cara hidup. Tetapi sekarang sudah terbalik - kita cari juara, beri duit dan jadikan mereka celebrity. Ini melampau. Kita tidak harus sampai ke tahap itu.
Melalui sukan orang akan jadi lebih sihat, kuat dan aktif. Kita galakkan orang bersukan bukan untuk menang tetapi semata-mata untuk bersukan. Apa salahnya kita galakkan bersukan untuk suka-suka. Kalau mahu mencari keunggulan kita harus juga melihat kepada aspek sukan kerana ia ada kaitan dengan kesihatan.
Pak Ungku sudah membincangkan tentang perubahan sikap, pemakanan dan kesihatan. Bagaimana dengan pendidikan?
UNGKU AZIZ: Apabila sampai kepada satu peringkat golongan remaja akan mula matang fikirannya. Mereka mula berfikir. Kita harus ada satu sistem yang lebih baik untuk mengajar orang berfikir. Kepada saya, salah satu kelemahan sistem pelajaran kita pada hari ini ialah ia tidak mengajar orang berfikir.
Para pemimpin kita selalu bercakap tentang masyarakat inovatif dan kreatif. Tetapi bagaimana mahu melahirkan masyarakat seperti itu kalau mereka tidak diajar untuk inovatif dan kreatif? Ia perlu diasuh dan dipupuk dari awal.
Apakah sistem pendidikan kita membantu pembentukan bangsa unggul?
UNGKU AZIZ: Saya fikir ada banyak kekurangan dan kelemahannya. Ini hakikat yang perlu saya suarakan. Kalau ada menteri-menteri yang hendak marah dengan kenyataan ini, tidak mengapa. Saya pun sudah 83 tahun (ketawa), tidak kisah apa-apa lagi. Saya hanya menyuarakan pandangan, bukan untuk mengenakan sesiapa.
Kita harus memikirkan hala yang hendak kita tuju, dan menyusun langkahnya dari situ. Selepas itu jangan ditukar-tukar separuh jalan.
Apakah yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul?
UNGKU AZIZ: Ini terpulang kepada diri masing-masing, berbalik kepada apa yang saya petik daripada Za'ba di awal tadi. Saya sudah sebut sebelum ini, dan saya hendak ulang lagi: Buku Za'ba itu adalah bacaan wajib untuk semua orang Melayu.
Secara ringkas, apa yang dikatakan oleh Za'ba dalam bukunya itu ialah kalau ada keyakinan kita boleh melakukan apa saja. Kita boleh menjadi unggul tetapi usaha itu bergantung kepada diri kita sendiri. Malah apa yang disebut oleh Za'ba itu adalah falsafah yang digali daripada ajaran al-Quran.
Itulah yang harus kita tekankan kepada remaja hari ini. Ini soal mahu atau tidak mahu, mahu lebih atau mahu kurang - pilihan masing-masing. Tetapi kalau pemikirannya terkongkong oleh model-model kecil yang dibentuk oleh media, mereka akan sukar membuat pilihan kerana tidak boleh berfikir. Mereka hendak bergembira saja tetapi hidup ini bukan bergembira sepanjang masa. Ini masalahnya.
Orang selalu bercakap tentang sifat-sifat negatif Melayu - malas dan suka buang masa, misalnya - sehingga menimbulkan rasa rendah diri untuk mereka maju. Apa pandangan Pak Ungku dalam hal ini?
UNGKU AZIZ: Sifat malas itu ada kaitannya dengan kemiskinan dalam masyarakat. Dari segi ekonominya, kemiskinan menyebabkan orang tidak ada tenaga kerana tidak mendapat pemakanan yang baik.
Rasa rendah diri pula sifat yang sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu. Ini soal budaya. Tetapi orang yang menjadi berjaya adalah mereka yang mampu mengeluarkan diri daripada kepungan budaya itu -ĂŠkepungan budaya yang ada dalam minda.
Ia boleh diatasi, bergantung kepada diri sendiri. Tidak ada yang mustahil. Tidak ada apa-apa yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul.
Pak Ungku pernah sebut sesetengah orang Melayu yang berjaya daripada Dasar Ekonomi Baru ibarat kacang lupakan kulit; tidak membantu anak bangsa lain berjaya sama. Tidakkah mereka boleh menjadi pemangkin pembinaan Melayu unggul ini?
UNGKU AZIZ: Ini bukan soal boleh tetapi itulah yang sepatutnya. Siapa lagi kalau bukan mereka?
Pak Ungku telah mengupas tentang zaman remaja yang cukup kritikal dalam pembinaan sahsiah bangsa. Pak Ungku semasa remaja bagaimana?
UNGKU AZIZ: Zaman saya remaja sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dulu adalah satu zaman yang sama sekali berlainan, zaman perang. Tetapi saya bekerja kuat kerana yakin bahawa kejayaan adalah dengan memiliki ijazah. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh.
Arwah ayah tidak banyak mempengaruhi saya, tidak banyak meninggalkan nasihat. Dia hidup dalam dunianya sendiri tetapi dari semasa ke semasa kami berbincang juga. Dia banyak meninggalkan saya dengan dunia saya sendiri. Tetapi ada satu perkara yang dia tekankan: Kalau tidak berjaya dalam pelajaran kamu tidak akan jadi sesiapa.
Dia nasihatkan bahawa dalam apa keadaan saya mesti belajar kerana kejayaan itu datang daripada usaha kita belajar. Ini tidak ada galang-gantinya. Dia menanam dalam dada saya bahawa kejayaan akan datang dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi semasa di English College, Johor Bahru saya belajar bersungguh-sungguh. Selepas ayah meninggal pada tahun 1939, saya jadi anak yatim piatu. Ibu meninggal semasa saya umur 4 tahun. Semasa itu pun saya tidak suka pergi kepada ahli keluarga untuk minta bantuan. Apabila bapa saudara saya (Datuk Onn Jaafar) jadi Menteri Besar Johor pun saya tidak rasa saya perlu minta kerja, sokongan atau duit daripada dia.
Saya pernah jadi kerani semasa menunggu keputusan peperiksaan. Apa yang saya buat itu adalah sebahagian daripada usaha untuk berjaya, pemikiran yang sudah tertanam dalam diri saya. Saya tidak kisah jadi kerani untuk cari duit supaya dapat belajar. Saya tidak pernah segan macam kebanyakan graduan yang menganggur sekarang. Saya fikir sikap inilah yang harus ada pada setiap orang muda yang mahu berjaya.
Sikap terhadap pelajaran?
UNGKU AZIZ: Ya, sudah semestinya. Sebelum Perang Dunia Kedua saya sudah masuk ke Raffles College tetapi kemudian terganggu apabila Jepun datang. Tetapi semasa itu pun saya terus belajar juga. Saya ke Universiti Waseda di Jepun, sempat belajar dua tahun. Orang perang atau tidak perang, saya belajar juga.
Apabila semua universiti di Jepun ditutup saya balik semula ke Johor dan berkhidmat sekejap dengan kerajaan negeri. Apabila Raffles College buka semula saya sambung belajar sampai lulus.
Kepada saya jentera dalam mindalah yang menggerakkan saya untuk berjaya. Kemahuan untuk berjaya itu harus ada dalam minda terlebih dulu. Soal hendak jadi kaya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.
Apakah antara perkara penting yang Pak Ungku belajar yang membentuk diri Pak Ungku sampai ke tahap ini?
UNGKU AZIZ: Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah, mati. Habis cerita.
Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur.
Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani.
Boleh Pak Ungku namakan Melayu unggul yang boleh dicontohi?
UNGKU AZIZ: Susah bagi saya hendak menamakannya tetapi orang itu harus ada ciri-ciri yang kita bincangkan tadi. Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi.
Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu. Kita jangan jadi bangsa hangat-hangat tahi ayam. Dan keunggulan mereka itu tentunya akan diukur dari segi kejayaan, baik dalam bidang apa sekalipun.
Sekarang ini orang melihat kepada Pak Ungku?
UNGKU AZIZ: (Ketawa) Saya tidak berani. Lihatlah diri saya ini. Saya begini saja. Saya tidak suka pakai tali leher dan saya makan simple saja. Ini bukan saya buat-buat; saya memang begini. Ini memang saya. Susah untuk orang jadi macam saya. Saya tidak fikir orang boleh meniru cara saya.
Tetapi kalau dedikasi saya - dedikasi ini perkataan yang besar - terhadap pendidikan, barangkali, ya. Saya fikir orang boleh tiru sifat-sifat baik yang mereka fikir ada pada saya.
Subscribe to:
Posts (Atom)