Monday, 23 August 2010

SEJARAH KAWASAN-KAWASAN DI MERSING

Kira-kira 40 km dari Mersing, terdapat sebuah pekan yang dinamakan sebagai Endau. Pekan Endau mendapat nama daripada nama seorang peranakan India yang bernama “Endau” yang menetap di situ walaupun kawasan itu pada mulanya dibuka oleh Dato’ Mohd Ali atas perintah Temenggong Ibrahim. Pekan Endau dikatakan maju kerana menjadi tumpuan orang-orang Cina berniaga, menjadi nelayan dan pembalak-pembalak di kawasan hulu Sungai Endau. Rumah-rumah rakit dibina di kawasan pinggir Sungai Endau dan juga di muara sungai pada awal pembukaannya di Mersing. Pada tahun 1902, Encik Awang Ali (Awang Daik) telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kerajaan bagi Endau. Pada tahun 1915 hingga 1916, beliau telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi Endau dan bersara pada 1 Februari 1920. Pejabat Kastam juga telah ditubuhkan pada masa itu untuk ditugaskan memungut cukai dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di Pekan Endau.

Terdapat banyak bahan mentah di Endau. Antaranya kayu balak, hasil-hasil hutan seperti rotan, damar dan juga gading gajah. Hasil-hasil laut dikeringkan dan dijual keluar dari Endau. Kebanjiran penduduk-penduduk Cina dikawasan Endau terbukti dengan adanya perkampungan baru yang dinamakan Kampung Hubong. Juga terdapat satu petempatan tentera bagi mengawasi dan menghalang pengaruh komunis di kawasan tersebut. Kesan-kesan tinggalan askar kini dijadikan sebuah sekolah agama bagi anak-anak tempatan.

Kira-kira 25 km dari Mersing dan 20 km dari Endau, terdapat sebuah pusat peranginan yang sedang dibangunkan. Kawasan tersebut dinamakan Teluk Sari bersempena dengan cerita-cerita orang dulu yang akan bermalam sehari di teluk itu apabila berulang-alik dari Endau ke Mersing. Manakala nama Penyabong berasal sempena dengan kebiasaan lanun-lanun yang menetap di situ menjadikan tempat itu sebagai kawasan menyabong ayam. Kemunduran Endau dipercayai berpunca dari sumpah anak Pahang bernama Damak. Antara bunyinya "bagi orang-orang Endau, masa hadapan bandar ini tidak akan maju seperti apa yang telah saya buat". Hal ini tidak dapat dipastikan kebenarannya namun jika benarlah maksud kata-kata itu, bermakna Endau tidak diberi perhatian dalam usaha-usaha pembangunannya.

Salah satu mukim yang terdapat di dalam Daerah Mersing yang sejarahnya berkait rapat dengan sejarah Mersing ialah mukim Tenglu. Tenglu dikatakan mendapat nama dari persahabatan yang erat antara pemuda Melayu, Abul dan pemuda Cina, Lam Seng yang telah membawa kepada kerjasama untuk menanam getah di kawasan yang terletak lebih kurang 5 batu dari Sungai Mersing. Setelah menjalani proses pembersihan kawasan dan penanaman, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan makanan. Abul tidak tahan menanggung risiko ini dan ingin segera kembali ke Mersing. Beliau telah berkata kepada Lam Seng "Tinggallah Lu" sehingga terbitlah nama Tenglu.

No comments:

Post a Comment