Tuesday, 6 April 2010

Cikgu Hj. Azman kembali ke Rahmatullah pagi tadi

Majlis perpisahan Allahyarham di SMK Anjung Batu (penyerahan tugas HEM)
Sumber : Portal SMK Anjung Batu


Keratan berita 8.4.2010

Pemergian Cikgu Hj Azman b. Asran pagi tadi sungguh mengejutkan buat para pendidik dan juga penduduk Mersing. Sewaktu penulis keluar dari rumah di Taman Intan Jaya, jalan Endau jam 6.47 pagi sebuah ambulan dengan siren pantas bergerak dari bandar Mersing ke arah Endau. Berasa tak sedap hati kerana biasanya jika begitu keadaannya satu kemalangan yang melibatkan kematian atau kecederaan telah berlaku.

Sebaik tamat kelas pagi, Presiden Kagum, Sir Saiful Hairin menyampaikan perkhabaran yang mengejutkan tersebut. Khabarnya beliau dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sebagai Guru Penolong Kanan SMK Nitar. Sebuah kereta Viva dipandu oleh seorang anggota polis yang hendak ke Kuantan dikatakan tidak dapat dikawal terbabas dalam arah melintang. Allahyarham cuba mengelak lalu kereta Nissan Serena beliau terbabas. Anak lelaki beliau cedera di tangan, anak jiran yang menumpang patah kaki dan beliau sendiri tercampak keluar dari kereta . Cikgu Zaleha isteri beliau yang dalam perjalanan ke SMK Tenggaroh berpatah balik dikatakan sempat memangku Allahyarham dalam keadaan yang kritikal. Setiba di hospital khabarnya Cikgu Azman telah menghembuskan nafas yang terakhir. Biasanya kalau berselisih kereta, pasti Allahyarham akan mengangkat tangan. Apatah lagi kereta kami jenama sama & juga warnanya.

Cikgu Azman sangat dikenali sebagai GPK HEM di SMK Anjung Batu. Sikap yang ramah dan sentiasa tenang serta merendah diri dihormati oleh guru-guru di sana. Jika terjumpa di bank atau kedai pada waktu petang pasti beliau akan menegur dengan senyuman yang begitu ikhlas.

Isteri Allahyarham, Hjh Zaliha , Pengetua SMK Tenggaroh dahulunya AJK Muafakat MRSM Mersing kerana mereka mempunyai anak lelaki pelajar di sini.(tak ingat tahun berapa SPM nya). Beliau juga peramah dan mesra dan pandai memberi pandangan dan nasihat yang baik tentang kerja dan keluarga.

Terasa benar kehilangan beliau,diharap keluarga Allahyarham dapat bersabar atas ketentuan ini. Kami warga MRSM Mersing mengucapkan takziah kepada keluarga dan warga kerja SMK Nitar. Moga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh di akhirat sana. Aminn

2 comments:

  1. Cikgu,

    InsyaAllah ada kesempatan nanti saya cuba tulis entri ke tempat tuan. Nak cari sesuatu yang boleh dikongsi tu rasa tertanya2 secocok ke tak?

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah Hariz,saya selalu ingatkan pelajar saya apakah kekuatan & persediaan semua menghadapi saat-saat begini.Pada akhirnya suka atau tidak, logik atau tidak,kita semua akan meninggalkan dunia yang kita sayang ini.Kematian menjadikan hidup ini tak ternilai. Saya dan guru-guru mengdoakan kejayaan Hariz sentiasa.

    ReplyDelete